Friday, April 1, 2011

Pembangunan Minda Usahawan

Assalamualaikum.

Dah masuk 1 April hari ni ye. Tak sangka, cepat betul masa berlalu. Saya juga rasa yang saya dah lama tak kemaskini blog ini dengan maklumat terbaru. Ini gara-gara saya sibuk mengikuti kursus pembangunan usahawan di Sungai Petani, Kedah bermula dari 28 Mac sehingga 31 Mac. Jadi, untuk entri kali ini, saya ingin berkongsi sedikit ilmu tentang ilmu yang saya perolehi sepanjang mengikuti kursus ini.

Kursus ini dinamakan Kursus Pembangunan Minda Usahawan yang dijalankan oleh Syarikat Wise Consortium. Kursus yang dijalankan selama 4 hari betul-betul membantu saya dalam mengenali dan mendalami alam keusahawanan ini. Selama 4 hari yang lalu juga saya dapati bahawa penceramah kursus ini cukup menekankan MATLAMAT yang kita hendak capai apabila berniaga. Setiap hari pasti penceramah tidak lupa untuk mengingatkan kami agar menetapkan MATLAMAT yang jelas bila menjalankan sesebuah perniagaan.

MATLAMAT yang jelas merupakan elemen yang sangat penting apabila kita mahu memulakan sesebuah perniagaan. Apa yang kita mahukan? Apa yang kita inginkan? Apa yang kita sasarkan? Segala-galanya perlu jelas agar kita mampu memandu perniagaan kita untuk mencapai destinasinya.

MATLAMAT yang tidak jelas ibarat kita menaiki bas tetapi tidak tahu hendak turun di mana. Akhirnya, kita akan sampai semula ke tempat permulaan. 

Dengan memiliki MATLAMAT yang jelas, kita akan melakukan persediaan ataupun cara-cara serta langkah-langkah untuk mencapai MATLAMAT perniagaan kita. Dengan adanya persediaan, perjalanan perniagaan kita akan menjadi lebih sistematik yang dapat membantu melancarkan lagi perniagaan kita. MATLAMAT yang jelas dapat memudahkan kita mengenalpasti sebarang kelemahan atau kekuatan yang wujud di dalam perniagaan kita.

Kesimpulannya, apa yang mahu saya sampaikan di sini ialah, kita mestilah menetapkan MATLAMAT di dalam perniagaan yang kita jalankan. Pastikan MATLAMAT yang kita tetapkan itu spesifik, boleh diukur, boleh dicapai, realistik dan ada batas waktu. Penetapan MATLAMAT adalah sesuatu yang baik bukan sahaja untuk perniagaan malah untuk diri kita sendiri juga.

InsyaAllah jika ada masa yang lain, saya akan kongsikan lagi ilmu yang saya perolehi sepanjang mengikuti Kursus Pembangunan Minda Usahawan ini.

No comments:

Post a Comment