Friday, January 21, 2011

Kejujuran

Orait, kali ni aku nak cerita pasal kejujuran pula. Kejujuran ni, macam-macam benda kita boleh kaitkan, yang paling popular dengan masyarakat masa kini ialah kejujuran dalam percintaan. Mana-mana cerita yang ada unsur-unsur cinta ni mesti menekankan aspek kejujuran. Tapi, dalam entri ni, aku bukan nak sembang pasal kejujuran dalam percintaan, ni pasal kejujuran dalam perniagaan.

Zaman sekarang, boleh dikatakan sukar untuk bertemu dengan peniaga atau usahawan yang betul-betul mengamalkan konsep kejujuran ini. Bukanlah tak ada langsung, tapi tak ramai. Ada mengatakan bahawa kejujuran boleh menyebabkan kita tidak berjaya dalam perniagaan. Kejujuran juga dikatakan boleh mengurangkan keuntungan sehingga membawa kerugian. Jadi, nak tak nak, untuk berjaya, aspek kejujuran perlu diketepikan agar memperoleh kejayaan dan keuntungan dalam perniagaan.

Sekarang, cuba kita dalami dulu ayat Al-Quran di bawah ini:
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Dalam ayat ini, sudah terang-terang menyatakan bahawa kita perlu mengamalkan kejujuran di dalam perniagaan kerana perniagaan tanpa kejujuran adalah suatu kesalahan dan berdosa. Sebagai seorang muslimin/muslimat, kita haruslah mengikut apa yang telah disuruh oleh Allah agar segala perbuatan kita diredhai dan diberkatiNya. Lagipun, dalam hal ini, jika mengamalkan kejujuran, kita tidak akan rugi hatta sedikitpun, malah kita akan diberi pahala dan makin disayangi Allah S.W.T. Soal keuntungan yang masuk atau mengalami kerugian, itu semua adalah ketentuan Allah. Jika kita untung, maka itu maksudnya Allah memudahkan rezeki  kita. Tetapi, jika kita mengalami kerugian, maksudnya Allah sedang menguji hambaNya untuk melihat sejauh mana kesabaran yang dimiliki hambaNya itu.

Kejujuran juga sebenarnya banyak membantu kita dalam perniagaan. Jika kita jujur, orang akan mudah percaya kepada kita. Bila orang mudah percaya, maka mudahlah rezeki kita. Aku juga kurang bersetuju dengan kata-kata bahawa dengan kejujuranlah kita ditipu orang. Sebenarnya, itu bukanlah salah kejujuran kita, tetapi ia adalah ujian yang datang dari Allah untuk menguji hambaNya ini. Tetapi, kita haruslah belajar daripada penipuan yang berlaku terhadap kita agar ia tidak akan berulang lagi. Janganlah kita biarkan ia terus berlaku tanpa ada apa-apa tindakan.

Dalam perkara ini juga, aku nak ceritakan tentang seorang fotografer dari barat yang mengamalkan sikap kejujuran untuk mencapai kejayaannya sehingga kini. Orang yang aku katakan ini namanya ialah Dane Sanders. Seorang fotografer dan usahawan terkenal di Amerika Syarikat. Melalui bukunya yang aku baca (Fast Track Photographer), beliau mengatakan bahawa semasa pembabitan awalnya dalam perniagaan fotografi perkahwinan, beliau telah mengeluarkan satu status yang tidak jujur. Beliau cuba mengamalkan konsep 'fake it till you make it' untuk mencapai kejayaan mudah. Ia dibuat supaya orang ramai percaya bahawa beliau adalah seorang fotografer yang baik dan berpengalaman, sedangkan beliau baru setahun jagung di dalam dunia fotografi ini.

Akibat sikapnya yang tidak jujur ini, beliau tidak memperolehi sebarang tempahan langsung sehinggalah pada suatu hari beliau ditegur oleh kawannya. Kawannya berkata bahawa, dia tidak jujur dalam memperkenalkan dirinya. Kawannya, David Jay, juga seorang fotografer dan usahawan terkenal di Amerika Syarikat mengatakan bahawa dia sangat tidak menyokong orang yang melakukan penipuan untuk mendapatkan pelanggan.

Semenjak hari itu, Dane Sanders mula mengubah sikapnya dan tidak lagi melakukan penipuan. Dari bermula dengan slogan "Dane Sanders, Santa Barbara's Premier Wedding Photographer" beliau berubah ke slogan "Dane Sanders: husband, father, and lover of photography. Hire me as I am or not at all". Dengan perubahan yang dilakukannya, beliau sudah mula mendapat tempahan. Akhirnya, kejujuran membantu beliau untuk memperolehi kejayaan sehingga sekarang.

Jadi, dalam hal ini, kita dapat lihat bahawa kejujuran sememangnya membantu kita dalam menaikkan perniagaan kita. Janganlah kita tanam dalam diri kita bahawa dengan berlaku jujur kita akan ditipu atau ditindas. Ia mungkin akan berlaku pada kali pertama sahaja, tetapi selepas itu kita belajarlah daripada kesilapan dan tidak mengulanginya lagi. Namun, kejujuran tetap juga perlu diteruskan agar perniagaan kita dipercayai orang ramai dan paling penting mendapat keredhaan dan keberkatan Allah S.W.T

No comments:

Post a Comment