Monday, January 31, 2011

LTDL 2011

Setelah sekian lama tak buat operasi menembak, baru-baru ni aku ada keluar dengan kawan-kawan aku pergi tengok karnival Le Tour de Langkawi 2011 kat Sitiawan. Keadaan yang sedikit hujan telah menyebabkan aku datang sedikit lewat sehingga terlepas aksi para pelumba basikal sampai ke garisan penamat. Tapi, mujur juga aku sempat shoot gambar para pemenang. Jadi, jom kita layan kejap gambar-gambar yang aku shoot ni.

Senjata yang digunakan:
-Canon EOS 1000D + Sigma 24-70 f2.8




Tuesday, January 25, 2011

Permulaan

Sebagai permulaan, aku nak letak dulu gambar-gambar yang pernah aku shoot semasa aku follow Shah Sentuhanaura buat job kat Selama, Perak. Shah memang sempoi sebab kasi aku follow dia. Berdebar gak aku masa tu. Bukan apa, aku tak pernah pun buat job (padahal follow je) ni. Masa tu rasa malu pun ada gak. Tapi, kalau dok ikut rasa malu je, macam mana aku nak belajar kan?

Jadi, moh la kita layan dulu gambar-gambar kat bawah ni. Semuanya dalam versi hitam putih (orang kata, kalau gambar versi hitam putih ni pasal ada unsur-unsur dramati sikit. Entah betul ke tidak).











Friday, January 21, 2011

Kejujuran

Orait, kali ni aku nak cerita pasal kejujuran pula. Kejujuran ni, macam-macam benda kita boleh kaitkan, yang paling popular dengan masyarakat masa kini ialah kejujuran dalam percintaan. Mana-mana cerita yang ada unsur-unsur cinta ni mesti menekankan aspek kejujuran. Tapi, dalam entri ni, aku bukan nak sembang pasal kejujuran dalam percintaan, ni pasal kejujuran dalam perniagaan.

Zaman sekarang, boleh dikatakan sukar untuk bertemu dengan peniaga atau usahawan yang betul-betul mengamalkan konsep kejujuran ini. Bukanlah tak ada langsung, tapi tak ramai. Ada mengatakan bahawa kejujuran boleh menyebabkan kita tidak berjaya dalam perniagaan. Kejujuran juga dikatakan boleh mengurangkan keuntungan sehingga membawa kerugian. Jadi, nak tak nak, untuk berjaya, aspek kejujuran perlu diketepikan agar memperoleh kejayaan dan keuntungan dalam perniagaan.

Sekarang, cuba kita dalami dulu ayat Al-Quran di bawah ini:
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Dalam ayat ini, sudah terang-terang menyatakan bahawa kita perlu mengamalkan kejujuran di dalam perniagaan kerana perniagaan tanpa kejujuran adalah suatu kesalahan dan berdosa. Sebagai seorang muslimin/muslimat, kita haruslah mengikut apa yang telah disuruh oleh Allah agar segala perbuatan kita diredhai dan diberkatiNya. Lagipun, dalam hal ini, jika mengamalkan kejujuran, kita tidak akan rugi hatta sedikitpun, malah kita akan diberi pahala dan makin disayangi Allah S.W.T. Soal keuntungan yang masuk atau mengalami kerugian, itu semua adalah ketentuan Allah. Jika kita untung, maka itu maksudnya Allah memudahkan rezeki  kita. Tetapi, jika kita mengalami kerugian, maksudnya Allah sedang menguji hambaNya untuk melihat sejauh mana kesabaran yang dimiliki hambaNya itu.

Kejujuran juga sebenarnya banyak membantu kita dalam perniagaan. Jika kita jujur, orang akan mudah percaya kepada kita. Bila orang mudah percaya, maka mudahlah rezeki kita. Aku juga kurang bersetuju dengan kata-kata bahawa dengan kejujuranlah kita ditipu orang. Sebenarnya, itu bukanlah salah kejujuran kita, tetapi ia adalah ujian yang datang dari Allah untuk menguji hambaNya ini. Tetapi, kita haruslah belajar daripada penipuan yang berlaku terhadap kita agar ia tidak akan berulang lagi. Janganlah kita biarkan ia terus berlaku tanpa ada apa-apa tindakan.

Dalam perkara ini juga, aku nak ceritakan tentang seorang fotografer dari barat yang mengamalkan sikap kejujuran untuk mencapai kejayaannya sehingga kini. Orang yang aku katakan ini namanya ialah Dane Sanders. Seorang fotografer dan usahawan terkenal di Amerika Syarikat. Melalui bukunya yang aku baca (Fast Track Photographer), beliau mengatakan bahawa semasa pembabitan awalnya dalam perniagaan fotografi perkahwinan, beliau telah mengeluarkan satu status yang tidak jujur. Beliau cuba mengamalkan konsep 'fake it till you make it' untuk mencapai kejayaan mudah. Ia dibuat supaya orang ramai percaya bahawa beliau adalah seorang fotografer yang baik dan berpengalaman, sedangkan beliau baru setahun jagung di dalam dunia fotografi ini.

Akibat sikapnya yang tidak jujur ini, beliau tidak memperolehi sebarang tempahan langsung sehinggalah pada suatu hari beliau ditegur oleh kawannya. Kawannya berkata bahawa, dia tidak jujur dalam memperkenalkan dirinya. Kawannya, David Jay, juga seorang fotografer dan usahawan terkenal di Amerika Syarikat mengatakan bahawa dia sangat tidak menyokong orang yang melakukan penipuan untuk mendapatkan pelanggan.

Semenjak hari itu, Dane Sanders mula mengubah sikapnya dan tidak lagi melakukan penipuan. Dari bermula dengan slogan "Dane Sanders, Santa Barbara's Premier Wedding Photographer" beliau berubah ke slogan "Dane Sanders: husband, father, and lover of photography. Hire me as I am or not at all". Dengan perubahan yang dilakukannya, beliau sudah mula mendapat tempahan. Akhirnya, kejujuran membantu beliau untuk memperolehi kejayaan sehingga sekarang.

Jadi, dalam hal ini, kita dapat lihat bahawa kejujuran sememangnya membantu kita dalam menaikkan perniagaan kita. Janganlah kita tanam dalam diri kita bahawa dengan berlaku jujur kita akan ditipu atau ditindas. Ia mungkin akan berlaku pada kali pertama sahaja, tetapi selepas itu kita belajarlah daripada kesilapan dan tidak mengulanginya lagi. Namun, kejujuran tetap juga perlu diteruskan agar perniagaan kita dipercayai orang ramai dan paling penting mendapat keredhaan dan keberkatan Allah S.W.T

Sunday, January 16, 2011

Moment @ Masa

Moment atau masa, inilah makna yang aku jumpa bila guna Google translator. Tapi aku ada juga cari makna lain bagi moment ni, di mana ia membawa maksud suatu tempoh tertentu yang penting yang berlaku di dalam sesuatu perisitiwa. Jadi moment yang cuba kita tumpukan pada entri kali ini ialah moment semasa majlis perkahwinan.

Dalam hal ini, aku suka kaitkan moment dengan seorang jurugambar yang cukup terkenal di dunia. Bukan sahaja terkenal, malah dia juga telah dinobatkan sebagai Top 10 Wedding Photographer in the world. Orang yang aku cakapkan ini ialah Jeff Ascough. Jeff boleh dikategorikan sebagai seorang yang pakar dalam mengambil gambar-gambar yang ada moment yang sangat menarik. Mata dia memang tajam untuk melihat peristiwa yang sedang berlaku dan memiliki jari jemari yang cukup pantas untuk memetik shutter. Malah, yang membuatkan dia lebih hebat ialah, kesemua peralatannya adalah menggunakan kamera berfilem. Peh, memang hebat. Kameranya juga menggunakan manual focusing sahaja untuk menangkap gambar.

Jeff Ascough - Otai

Apa yang seronok untuk diperkatakan tentang Jeff ini ialah, kehebatannya mengambil gambar yang ada moment yang begitu menarik. Bukan menarik sahaja, malah ada maksudnya yang tersendiri bila gambarnya diamati betul-betul. Dalam hal ini, Jeff sudah tahu apa yang dia mahukan sebelum dia memetik shutter. Jari jemarinya yang cekap sememangnya membantu dia di samping memiliki sepasang mata yang bagus. Ada dikalangan pelanggannya mengatakan Jeff seolah-olah tidak wujud semasa majlis persandingan sedang berlangsung. Kepandaiannya dalam memencilkan diri semasa majlis berlangsung betul-betul mengujakan pelanggannya. Mereka sedar kewujudan Jeff hanya selepas gambar-gambar majlis perkahwinan mereka sudah siap dicuci.

Dalam urusan fotografi perkahwinan ini, Jeff lebih gemar menganggap dirinya sebagai seorang dokumentarian. Dia tidak mahu mengarah sesuatu majlis tetapi hanya mahu merakamkan tanpa mengganggu perjalanan sesuatu majlis.

Kalau korang semua nak tengok hasil-hasil gambar Jeff Ascough ni, korang boleh lawat laman web dia kemudian nilailah sendiri gambar-gambar yang Jeff ambil ok. http://www.jeffascough.com/

Orait, yang kat bawah ni adalah hasil tangkapan aku sendiri. Bukannya Jeff punya ok. Jadi, korang nilailah moment yang sedang berlaku dalam gambar-gambar yang aku ambil ni ye. :)




Sunday, January 9, 2011

Nekad!

Dunia perniagaan sememang satu dunia yang mencabar dan penuh pancaroba. Dalam dunia perniagaan ini juga terdapat macam-macam risiko yang perlu kita tempuhi. Sama ada risiko yang mendatangkan kebaikan ataupun keburukkan, semuanya kita panggil risiko.

Namun begitu, sehebat mana cabaran ataupun risiko yang dihadapi, kita perlulah tabah untuk menghadapi segala dugaan ini. Ini kerana, cabaran dan risiko inilah yang akan menjadikan kita seorang usahawan yang terbaik. Sebagai seseorang yang baru hendak memasuki bidang keusahawanan ini, kita perlulah memiliki semangat yang nekad dan kental kerana kita ketahui bahawa dunia perniagaan ini bukanlah sesuatu yang mudah.

Untuk menceburi bidang keusahawanan ini, kita mungkin akan diduga sejak awal perniagaan lagi. Mungkin kita akan diuji semasa mencari modal perniagaan atau kita akan semangat kita akan diduga dengan macam-macam masalah yang menimpa yang mungkin boleh merencatkan perjalanan perniagaan kita. Jika kita tiada masalah memiliki modal, mungkin kita akan menghadapi masalah dari segi pemasaran atau masalah memperolehi pelanggan. Walau berbagai cara promosi digunakan, tiada satu pun pelanggan yang datang. Selain daripada yang disebutkan terdapat juga masalah-masalah dan halangan yang mungkin akan kunjung tiba dalam dunia perniagaan ini.

Walaubagaimanapun, jika kita memiliki semangat yang kental dan nekad yang tinggi, insyaAllah halangan-halangan yang datang dapat kita hadapi atau rentasi satu persatu. Semangat yang kentallah yang akan membantu kita menjadi usahawan yang berjaya. Tanpanya, kita tidak akan dapat mencapai apa yang kita mahukan. Selain itu, jangan juga kita lupa berdoa kepada Allah S.W.T agar diberi kepada kekuatan untuk menghadapi ujian-ujianNya di samping memohon keredhaanNya. InysaAllah.

p/s: Sebenarnya entri ni untuk nasihat diri aku. Tapi ok juga kalau korang semua rasa terkesan dengan entri ni. Mana tau kita sama-sama berkobar-kobar nak jadi usahawan kan? Hahaha!

Sunday, January 2, 2011

Kongsi is 'caring'

Assalamualaikum.

Berkenaan tajuk di atas, semalam aku ada lepak-lepak dengan seorang brader ni. Brader ni memang dah lama buat kerja fotografi ni. Nama dia Luqman Aziz (http://luqmanaziz.fotopages.com/). Nama Luqman Aziz, tapi aku pun taktau kenapa orang panggil dia Aziz. Aku pula, dah kawan-kawan panggil dia 'Ajis', aku pun ikut sajalah. Ajis sebenarnya ada job kat Manjung ni, shoot gambar wedding kawan aku. Jadi, aku berkesempatan la untuk berkenalan dengan dia. Ajis ni bila tengok memang jenis rendah diri je orangnya, cakap pun lembut je, tapi hasil kerja memang bagus. Aku pula masih baru dalam bidang ni, jadi, bila ada kesempatan berjumpa dengan Ajis, dah tentu aku nak guna peluang ni untuk belajar sesuatu, betul tak?

Ajis ni aku tengok memang tak lokek ilmu punya orang. Apa yang dia tau, dia ajar. Tengah-tengah shoot pengantin pun dia sempat lagi mengajar, memang setedilah. Biasanya, mana ada shooter boleh sempat mengajar sebab diorang takut terlepas moment kan? 
Bila lepak-lepak dengan dia, aku bukan setakat tahu tentang teknik-teknik fotografi ni, malah aku dapat tahu sesuatu tentang fotografi dari sudut yang lebih mendalam. Contohnya aku belajar tentang passion dan keinginan yang mendalam dalam fotografi ni. Dua benda ni boleh dikatakan penting dalam bidang fotografi sebab tanpa dua benda ni, kita boleh kecundang awal. Benda ni lah yang akan menjadi sumber kekuatan bagi kita untuk terus meneroka bidang fotografi ni. Jika tiada passion dan keinginan dalam diri kita terhadap fotografi ini, mungkin kita sebenarnya lebih sesuai untuk melibatkan diri dalam bidang yang lain.

Ada juga benda lain yang kami sembangkan, tapi aku pun dah ingat-ingat lupa. Mana taknya, melepak sampai pukul 2 pagi, menguap entah berapa kali entah. Tapi Ajis tetap rilek layan kitaorang walaupun muka dia memang nampak penat sangat. Respeklah sama kau bro. Harap-harap, lain kali, kalau ada masa lagi boleh la kita lepak lagi ye Ajis. Semoga kau terus berjaya dalam bidang yang kau minati ni bro!

Saturday, January 1, 2011

Posting Pertama

Langkah pertama untuk bergelar usahawan, iaitu, menerbitkan blog sendiri.


Langkah kedua pula, hmm...tambahkan keyakinan dalam diri. 2011 adalah tahun untuk membuat perubahan. Aku perlu keluar dari kepompong diri aku yang lama. Perlu ada anjakan paradigma. Aku juga perlu berani, berani untuk melakukan apa sahaja walaupun berisiko (tapi risiko yang yang sudah diambil kira la ye).

Aku tak boleh buat remeh benda-benda ni, aku kena buat bersungguh-sungguh. Aku taknak digelar 'hangat-hangat tahi ayam'. Kalau gelaran itu melekat kepada aku, memang malu rasanya. Jadi, benda ini akan bermula sekarang, iaitu satu haribulan satu dua ribu sebelas.
Ayuh!